Sabah rekod 38,659 kenderaan bawah SKDS
16:10 Oct 19, 2026  |  By SabahKini2
Sabah rekod 38,659 kenderaan bawah SKDS

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi bahan api kepada kenderaan perdagangan menerusi pelaksanaan SKDS dan SKPS.

KUDAT: Sebanyak 38,659 kenderaan milik 17,703 syarikat di Sabah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 18 Okt lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata jumlah itu merangkumi 2,231 kenderaan pengangkutan awam darat, 27,655 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna dan 8,773 kenderaan persendirian syarikat, termasuk jip dan pikap.

Bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), Sabah merekodkan 1,408 kenderaan milik 995 syarikat berdaftar.

Daripada jumlah itu, 788 kenderaan digunakan bagi pengangkutan awam darat, manakala 620 lagi bagi pengangkutan barangan keperluan pengguna.

Armizan berkata, di peringkat nasional, sebanyak 205,167 syarikat melibatkan 514,111 kenderaan perdagangan berdaftar di bawah SKDS setakat 18 Okt 2026.

Sementara itu, SKPS merekodkan 24,204 syarikat dengan 44,883 kenderaan berdaftar di seluruh negara.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi bahan api kepada kenderaan perdagangan menerusi pelaksanaan SKDS dan SKPS.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan subsidi disalurkan secara bersasar kepada sektor pengangkutan awam darat, pengangkutan barangan keperluan pengguna serta kenderaan persendirian perniagaan mikro dan kecil yang layak.

“Penyaluran subsidi bahan api lain seperti BUDI Diesel, BUDI95, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan pula dilaksanakan di bawah kementerian peneraju masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Program Jualan Rahmah MADANI di Pulau Banggi, hari ini.

Armizan turut memaklumkan satu pendaftaran direkodkan bagi sektor pengangkutan awam air di Sabah.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mohammad Mohamarin.

Comment