KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 21 individu serta merampas pelbagai makanan sejuk beku bernilai kira-kira RM20.88 juta dalam Op Bersepadu Chiller yang dijalankan serentak di tujuh daerah di Sabah pada Rabu.
Operasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Beluran, Keningau, Lahad Datu dan Kunak dengan penglibatan 204 pegawai serta anggota daripada pelbagai agensi.
Komander PGA Briged Sabah, Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan berhubung kegiatan penyeludupan ayam, daging serta makanan sejuk beku di negeri berkenaan.
Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan serta kebersihan makanan.
“Seramai 21 individu berusia antara 22 hingga 40 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, 17 lelaki dan seorang wanita warga tempatan manakala seorang lelaki serta seorang wanita warga asing,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, rampasan melibatkan pelbagai barangan makanan sejuk beku termasuk ayam, daging beku dan daging babi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,883,909.85.
“Antara kesalahan dikesan termasuk di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015, Seksyen 13 Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Ordinan Perlesenan Perdagangan 1948, Undang-Undang Kecil 1981 serta Peraturan 38(1)(c) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.
Tambah beliau, semua tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Polis Diraja Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan setiap premis mematuhi peraturan ditetapkan.
“Langkah ini juga bagi membanteras penjualan ayam, daging dan makanan sejuk beku yang diragui status halal serta kebersihannya terutama ketika umat Islam menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penjualan makanan sejuk beku meragukan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

