PUTRAJAYA: Mesyuarat kedua membincangkan pelaksanaan pemberian tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah akan diadakan bulan ini, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perbincangan itu akan diadakan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dengan Setiausaha Kerajaan Sabah.
Pada masa sama, beliau berkata, tempoh 90 hari untuk semakan semula hak 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah susulan keputusan dan arahan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap Kerajaan Persekutuan pada Oktober lalu, tamat hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat kedua itu adalah lanjutan kepada perbincangan awal yang diadakan November lalu.
"Saya juga sudah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang sudah diadakan dalam tempoh 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu berakhir pada hari ini.
"Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan bulan ini, maksudnya dalam satu, dua minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang diadakan November lalu," katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi, berkata demikian pada Sidang Media selepas Mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini. Fahmi berkata, segala perincian mengenai mekanisme, pembayaran dan perkara berkaitan perlu diputuskan sebelum tempoh 180 hari berakhir.
Justeru, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan masih mempunyai tempoh 90 hari lagi untuk kedua-dua pihak memuktamadkan semua perkara berkaitan.
"Ia mesti dimuktamadkan, dipersetujui antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Jadi tempoh masih ada lagi 90 hari tapi komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melunaskan perjanjian yang dibuat oleh bapa-bapa Malaysia, termasuk dalam perkara MA63 berkaitan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, ahli-ahli Lembaga Majlis Media Malaysia memaklumkan kepada beliau bahawa mereka memerlukan sedikit masa untuk menguruskan aspek pentadbiran asas sebelum dapat melaksanakan peranan dengan lebih menyeluruh.
Menyifatkan pertemuan dengan ahli-ahli Lembaga Majlis Media Malaysia baru-baru ini sebagai satu pencapaian penting dalam usaha penubuhannya, Fahmi berkata, mereka memberi jaminan akan menguruskan isu berkaitan kod etika wartawan, selepas beberapa isu asas itu diselesaikan.
"Setelah beberapa perkara asas ini dapat diselesaikan, mereka memberi komitmen untuk menguruskan isu kod etika wartawan, termasuk mekanisme untuk menerima aduan daripada khalayak umum berhubung isu-isu berkaitan pelaporan media," katanya.
Selain itu, Fahmi turut memaklumkan kepada Majlis Media Malaysia mengenai Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang membawa hasrat membantu organisasi media, khususnya media legasi seperti akhbar, radio dan televisyen, memulakan proses pendigitalan di organisasi masing-masing.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bukan bertujuan menggantikan wartawan mahu jurukamera, sebaliknya sebagai mendampingi pengamal media.

