Philip Among dipenjara 43 bulan, denda RM14,000 akibat cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau
23:01 Jan 12, 2026  |  By SabahKini2
Philip Among dipenjara 43 bulan, denda RM14,000 akibat cabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu ke atas Phillip Among, 53, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan mencabul mangsa terbabit pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang hingga 10 malam.

KOTA KINABALU: Seorang ahli politik yang mencabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau 2021 dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 43 bulan dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu ke atas Phillip Among, 53, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan mencabul mangsa terbabit pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang hingga 10 malam.

Mahkamah turut memutuskan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap Among yang juga penyelaras Parlimen parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bagi Bahagian Putatan, tetapi kini digantung jawatannya susulan dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.

Among yang ketika kejadian adalah ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021 itu, disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM3,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga, Among dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 43 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula tarikh sabitan hari ini, menjadikan Among perlu dipenjara selama 16 bulan dan membayar denda keseluruhan RM14,000.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Among menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, tetapi semua denda dibayarnya hari ini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021, dengan perbicaraan bermula pada 12 April 2022.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi.

Untuk rekod, pada 19 Disember 2025, Among dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, dalam satu kes berasingan kerana mencabul seorang remaja perempuan lain.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mendapati Among bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada 17 April 2021, kira-kira jam 11 malam, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.

Beliau diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Yousof Tahir Mahmood.

Comment