Hospital Tawau terus diperkukuhkan untuk capai taraf hospital negeri 2030
17:11 Nov 10, 2025  |  By SabahKini2
Hospital Tawau terus diperkukuhkan untuk capai taraf hospital negeri 2030

Dzulkefly berkata pelancaran blok baharu berkenaan merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh sistem kesihatan untuk rakyat Sabah khususnya di bahagian pantai timur.

TAWAU: Keupayaan Hospital Tawau akan terus diperkukuh agar mampu mencapai taraf Hospital Negeri Kategori 1 (ACE) menjelang 2030, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Hospital Tawau kini sudah menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran klinikal termasuk kardiologi, rekonstruktif plastik dan geriatrik.

"Kementerian Kesihatan akan memastikan penambahan sumber manusia kritikal dari semasa ke semasa bagi membolehkan perkhidmatan perubatan yang lebih efisien dan selamat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok bangunan baharu Hospital Tawau di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dzulkefly berkata pelancaran blok baharu  berkenaan merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh sistem kesihatan untuk rakyat Sabah khususnya di bahagian pantai timur.

"Tawau adalah wilayah strategik yang memainkan peranan penting dalam menyokong perkhidmatan kesihatan bagi daerah sekitar seperti Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

"Pewujudan blok baharu ini langkah penting untuk meningkatkan kapasiti rawatan, di samping memastikan rakyat di kawasan luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, dekat dan selesa," katanya.

Selain itu, Dzulkefly berkata blok bangunan baharu tersebut merupakan projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang berjaya disempurnakan oleh Kerajaan MADANI, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menyiapkan projek tertangguh demi kesejahteraan rakyat

Beliau berkata dengan pelaburan sebanyak RM223.65 juta yang dibiayai kerajaan Persekutuan, blok baharu itu menambah 154 katil, menjadikan jumlah keseluruhan 585 katil rasmi di Hospital Tawau.

Selain itu, beliau berkata kehadiran Perdana Menteri merasmikan blok bangunan baharu Hospital Tawau itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara saksama antara wilayah termasuk dalam sektor kesihatan.

"Inilah makna tadbir urus berasaskan hasil (outcome-based governance), iaitu setiap Ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan nyata kepada kesejahteraan rakyat," katanya.

Comment