TAWAU: Keputusan sama ada kerajaan akan memfailkan rayuan berhubung tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat itu akan mendengar terlebih dahulu penjelasan Peguam Negara sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, nak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tak rayu pun tak apa. Tapi keputusan muktamad dibuat selepas kita berbincang bersama semua anggota jemaah menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah di Pasar Taman Semarak, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan memahami keresahan rakyat Sabah, namun menegaskan semua proses mesti mengikut saluran undang-undang dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.
“Mahkamah arah runding, saya kata baik, kita runding. Tapi sekarang ni kerajaan sementara. Tunggu lepas pilihan raya, bila kerajaan baharu dibentuk, saya akan arah rundingan dimulakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan MADANI sudah membuktikan komitmen lebih tinggi terhadap Sabah berbanding pentadbiran sebelum ini.
Katanya, Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, jauh melebihi hasil kutipan kerajaan Persekutuan di negeri itu yang sekitar RM10 bilion setahun.
“Ketika saya jadi Perdana Menteri, saya naikkan pemberian khas kepada Sabah daripada RM56 juta kepada RM600 juta. Tapi itu belum muktamad. Kerajaan negeri minta tambah lagi dan kita akan runding dalam mesyuarat akan datang,” katanya.
Anwar turut membidas pihak pembangkang yang terus menyerang kerajaan dalam isu berkenaan.
“Kalau pembangkang asyik marah, saya nak tanya, nak marah apa? Zaman dulu dapat RM56 juta saja, sekarang kita bagi RM600 juta, pun nak marah?” katanya
Beliau berkata, dasar Kerajaan MADANI berpegang pada prinsip keadilan untuk semua negeri, termasuk memastikan Sabah terus diberi keutamaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

