Mahkamah coroner benarkan prosiding hina mahkamah terkait kes Zara Qairina terhadap Shafie Apdal dan Mona Din
18:10 Oct 23, 2025  |  By SabahKini2
Mahkamah coroner benarkan prosiding hina mahkamah terkait kes Zara Qairina terhadap Shafie Apdal dan Mona Din

Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.

KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pempengaruh media sosial, Che Muna Din berhubung kenyataan yang didakwa menghina mahkamah mengenai kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.

Dokumen saman akan diserahkan kepada Shafie dan Che Muna, yang juga dikenali sebagai Mona Din dalam tempoh dua minggu dan tarikh perbicaraan akan ditetapkan kemudian oleh koroner.

Dalam permohonan ex-parte itu, pihak pemohon menyatakan bahawa notis tunjuk sebab sudah diserahkan kepada Shafie pada 23 September, manakala kepada Mona Din pada 10 September.

Mohamad Mustaffa berkata, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan sudah menjawab notis tunjuk sebab rasmi itu melalui sepucuk surat daripada peguamnya, Tetuan Tommy Thomas, bertarikh 29 September.

"Dikemukakan bahawa walaupun responden memberikan surat jawapan tersebut dan tidak menafikan kenyataan yang terkandung dalam hantaran berkenaan, beliau gagal memberikan penjelasan yang memuaskan sebagai respon kepada notis tunjuk sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang diserahkan kepadanya," katanya.

Beliau berkata, Mohd Shafie membuat kenyataan yang boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah melalui satu hantaran di Facebook atas nama 'Shafie Apdal'.

Sementara itu, Mona Din sudah menjawab melalui satu akuan berkanun pada 19 September dan menyampaikan permohonan maaf.

Mohamad Mustaffa berkata, bagaimanapun perkara itu tidak mengecualikan dia daripada perbuatan menghina mahkamah yang didakwa sudah dilakukan dan gagal memberikan jawapan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

"Dengan hormatnya kami kemukakan bahawa pada 4 September, dalam satu hantaran di Facebook atas nama 'Mona Din', responden menyiarkan kenyataan yang juga penghinaan terhadap mahkamah berkaitan prosiding inkues," katanya.

Comment