Belanja untuk Sabah RM17 bilion bukan isu tapi mengikut keperluan – PM Anwar
23:10 Oct 22, 2025  |  By SabahKini2
Belanja untuk Sabah RM17 bilion bukan isu tapi mengikut keperluan – PM Anwar

Bagi tujuan itu, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengumpulkan semua data yang menunjukkan hasil cukai dari Sabah membabitkan jumlah RM10 bilion.

PUTRAJAYA: Peningkatan peruntukan ke Sabah bukan satu isu, sebaliknya ia membabitkan keperluan pembangunan di negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebelum pentadbirannya, peruntukan khas untuk Sabah hanya sejumlah RM126 juta, namun dinaikkan ke RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pada 2025.

Katanya, bagi tujuan itu, beliau sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengumpulkan semua data yang menunjukkan hasil cukai dari Sabah membabitkan jumlah RM10 bilion.

"Berapakah belanja yang kita peruntukkan pada 2025 dan unjuran 2026? RM17 bilion. Ini bukan kerana pertimbangan khusus untuk Sabah.

"Ini kerana keperluan kita membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap, bekalan air yang masih belum siap (yang) diluluskan pada 2024 dan insya-Allah siap tahun depan.

"Bagi elektrik, Sabah Elektrik yang dulunya di bawah Kerajaan Persekutuan diserahkan kepada negeri, tetapi negeri tentunya tidak upaya untuk menjana pelaburan awal, maka Kerajaan Persekutuan, walaupun diserah kepada negeri, masih membelanjakan RM1.2 bilion, bantuan dan juga pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Amanat Integriti Perdana Menteri & AIGA 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari dan Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diterangkan di Parlimen berikutan kerajaan tidak mahu menjadi mangsa tohmahan politik picisan yang mempersoalkan peningkatan peruntukan khas berkenaan.

Anwar berkata, ia membabitkan soal pengendalian negara iaitu urusan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan negara yang harus dijaga, selain menjamin keamanannya.

"Kalau ada pandangan mengatakan dana untuk pendidikan di Sabah harus ditingkatkan, saya tidak ada masalah.

"Hasil dari Sabah RM10 bilion, belanja untuk Sabah RM17 bilion bagi saya bukan isu. Itu ikut keperluan. Perlis sampai sekarang masih dibantu termasuk dari segi gaji penjawat awam kerana hasilnya sangat terbatas.

"Tetapi tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai pembangkang di Semenanjung mengatakan 'kami dianak tiri, kami dizalimi' kerana kenyataannya berbeza," katanya.

Anwar berkata, Kerajaan Madani membuktikan tambahan peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam beberapa tahun ini, kerana ada keperluan termasuk bencana banjir yang melanda negeri terbabit.

Beliau berkata, bencana banjir di Kelantan misalnya memerlukan lonjakan perbelanjaan peruntukan.

"Kita tidak boleh biarkan negeri yang kekurangan terus ketinggalan hanya kerana berbeza pandangan politik. Ini soal keperluan rakyat dan amanah kerajaan," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pendekatan diambil Kerajaan Madani mencerminkan amalan tadbir urus berintegriti yang mengambil kira keputusan berasaskan nilai dan tanggungjawab moral, serta bukan pengaruh politik.

Anwar turut mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Tanggungjawab kita ialah mengangkat kedudukan, martabat, ekonomi, sosial semua negeri dan dalam memutuskan kerangka besar kelulusan projek Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) umpamanya dan belanjawan negara itu diambil kira.

"Sebab itu kita tidak boleh lihat meneropong dari sudut satu kaum, satu kabilah, satu negeri dan mengetepikan kepentingan lain. Itu yang bagi saya semangat yang merentas semua peruntukan dalam Perlembagaan negara kita," katanya.

Comment