Prosiding luar Mahkamah inkues kematian Zara Qairina selesai selepas 2 jam
19:09 Sep 11, 2025  |  By SabahKini2
Prosiding luar Mahkamah inkues kematian Zara Qairina selesai selepas 2 jam

Kenderaan turut membawa bersama rombongan pasukan peguam, pemerhati bersama saksi yang juga pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.

PAPAR: Sesi 'locus in quo' atau prosiding luar Mahkamah Koroner inkues kematian Zara Qairina Mahathir selesai kira-kira jam 11.30 pagi tadi selepas berlangsung kira-kira dua jam di lokasi kejadian Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri.

Prosiding dibuat di bangunan asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan.

Kenderaan yang membawa Hakim selaku Koroner Amir Shah Amir Hassan dilihat keluar dari pintu utama sekolah pada jam 11.49 pagi.

Kenderaan turut membawa bersama rombongan pasukan peguam, pemerhati bersama saksi yang juga pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.

Terdahulu kesemua mereka tiba di sekolah jam 9.15 pagi selepas bergerak dari Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu jam 8.45 pagi.

Sebelum itu kenderaan yang membawa masuk pasukan pendakwa raya ke lokasi kejadian pula tiba jam 8.30 pagi.

Manakala kenderaan yang membawa pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula tiba pada jam 7.29 pagi.

Turut kelihatan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tiba di sekolah sekitar jam 8.00 pagi bagi tujuan proses bina semula atau simulasi kejadian bersama pasukan forensik.

Sesi 'locus in quo' bermula 9.30 pagi selama dua hingga tiga jam sebelum kembali semula ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi menyambung sesi prosiding jam 3.00 petang nanti di Mahkamah Koroner.

Bagaimanapun media tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah semasa sesi 'locus in quo' berlangsung.

Tinjauan luar kawasan sekolah pula mendapati para pengamal media sudah berada di luar sekolah seawal jam 7 pagi bagi membawa perkembangan terkini inkues dari luar sekolah.

Walaupun prosiding berlangsung di lokasi kejadian sesi persekolahan tetap dijalankan seperti biasa di luar bangunan asrama.

Kelihatan pasukan anggota polis membuat kawalan sekitar dalam dan luar sekolah bagi memastikan prosiding luar mahkamah berjalan lancar dan terkawal.

Sesi 'locus in quo' adalah lawatan ke lokasi kejadian bagi membantu mahkamah memahami gambaran keadaan sebenar insiden.

Pada hari pertama inkues mahkamah memaklumkan perkembangan melalui sesi itu penting kerana ia dijangka dapat memperjelas keadaan sebelum dan selepas kejadian yang meragut nyawa Zara Qairina.

Comment