Tiga patung digunakan dalam simulasi kes Zara Qairina di lokasi kejadian
19:09 Sep 11, 2025  |  By SabahKini2
Tiga patung digunakan dalam simulasi kes Zara Qairina di lokasi kejadian

Prosiding berbentuk ‘locus in quo’ atau lawatan ke tempat kejadian itu dipengerusikan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan diiringi pegawai pengendali, kakitangan mahkamah serta pihak berkepentingan.

PAPAR: Tiga buah patung digunakan dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika mahkamah mengadakan prosiding di lokasi arwah ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

Prosiding berbentuk ‘locus in quo’ atau lawatan ke tempat kejadian itu dipengerusikan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan diiringi pegawai pengendali, kakitangan mahkamah serta pihak berkepentingan.

Patung berkenaan digunakan sebagai sebahagian daripada simulasi untuk menggambarkan semula kemungkinan situasi yang berlaku sebelum arwah ditemukan di bawah bangunan asrama.

Melalui simulasi itu, patung dijatuhkan dari lokasi dipercayai tempat arwah berada, sekali gus membolehkan pihak mahkamah menilai dari dekat senario yang didakwa berlaku pada hari kejadian.

Difahamkan, selain ujian jatuhan, prosiding turut menilai keadaan fizikal di koridor bangunan asrama, termasuk kedudukan palang besi yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pergerakan arwah.

Patung berkenaan tiba di lokasi kira-kira jam 11.20 pagi dan dilihat dibawa masuk oleh pasukan peguam Datuk Ram Sing yang mewakili seorang daripada kanak-kanak tertuduh dalam kes buli yang sedang dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak.

Sementara itu, Amir bersama rombongan tiba lebih awal pada jam 9 pagi sebelum meneliti keadaan sekitar bangunan asrama serta mendengar penjelasan teknikal daripada pihak berkaitan.

Comment