KOTA KINABALU: Seorang suri rumah Asmaziah Sedek atau lebih dikenali dengan akaun Facebook ‘Ash Qiey’, dihukum denda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan membuat kenyataan palsu di laman Facebook berhubung Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, berkaitan kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Tertuduh, Asmaziah Sedek, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Pertuduhan
Mengikut kertas pertuduhan, pada 29 Julai 2025 kira-kira jam 9.21 malam, tertuduh secara sedar memuat naik kenyataan palsu yang mendakwa ahli keluarga TYT Sabah antara individu yang terlibat dalam insiden pembulian sehingga membawa kepada kematian Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar.
Hantaran tersebut berbunyi:
“3 org Tu ank VVIP seorang anak Menteri seorang anak pegawai polis seorang anak pengetua yg dah bersara. Ini baru 3/6 pelaku. 5 senior 1 junior. Statement Di atas sy kutip Dari satu artikel. Kalau betul mereka dalang kepada kes pembulian selama ini, memang sungguh kebal. Salah seorang Dari mereka juga ahli kerabat tyt Kita. Jika benar, sungguh kejam Permainan mereka. Sabah sedang melindungi PEMBUNUH.”
Kenyataan itu kemudian dibaca oleh seorang individu di kediaman TYT Sabah pada 31 Julai lalu, sebelum laporan polis dibuat pada 1 Ogos.
Asmaziah didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Hujah Pendakwaan
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari @ PG Johari dan Nurul Shafeerah Mad Iskim.
TPR Afiqah dalam hujahnya menekankan bahawa kesalahan siber seperti ini adalah serius, apatah lagi apabila melibatkan fitnah terhadap institusi tertinggi negeri.
“Dalam konteks kes inkues Zara Qairina, orang awam telah membanjiri media sosial dengan pelbagai dakwaan tidak berasas. Tindakan tertuduh boleh menimbulkan salah faham, menghasut kebencian dan mencemarkan reputasi TYT Sabah. Mahkamah perlu menghantar mesej jelas bahawa kesalahan sebegini tidak akan ditoleransi,” katanya.
Rayuan Tertuduh
Asmaziah yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia hanyalah seorang suri rumah serta mempunyai bayi berusia lapan bulan yang masih menyusu.
“Saya tiada niat menghasut sesiapa. Ia hanya luahan emosi seorang ibu. Saya tiada wang mencukupi, malah suami baru sahaja mendapat pekerjaan di Tenom. Saya datang ke mahkamah ditemani ibu dan bayi saya,” rayunya dengan nada sebak.
Siasatan
Hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook ‘Ash Qiey’ dikendalikan oleh tertuduh. Beliau ditahan pada 13 Ogos di IPD Kota Marudu bersama sebuah telefon bimbit yang disita.
Laporan forensik SKMM mengesahkan hantaran fitnah itu dimuat naik pada tarikh dan masa yang dinyatakan dalam pertuduhan.
Keputusan
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hakim menegaskan bahawa hukuman ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.