KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, dijangka lebih menarik esok apabila pasukan peguam mewakili lima tertuduh remaja diberi kebenaran membawa patung baru bagi melakukan simulasi bagaimana Allahyarham terjatuh di lokasi kejadian.
Peguam, Joan Goh yang mewakili seorang daripada lima remaja terbabit berkata, patung berkenaan dipilih kerana lebih mirip dengan keadaan fizikal arwah yang memiliki ketinggian dan berat hampir sama.
"Mahkamah meluluskan permohonan kami untuk membawa 'mannequin' ini. Kami akan sediakan patung dengan berat yang diperlukan bagi memastikan ia menyerupai keadaan sebenar.
"Simulasi akan dilakukan di blok asrama sekolah tempat arwah ditemui sebelum ini, dengan beberapa ujian berbeza bagi mendapatkan gambaran lebih jelas," katanya ditemui di Mahkamah Koroner, hari ini.
Joan berkata, dua ujian utama akan dilaksanakan iaitu jatuhan pertama tanpa tolakan dan kedua dengan sedikit tolakan.
"Tujuannya untuk menunjukkan perbezaan jarak. Jika ditolak, apa jauhnya, dan jika dilepaskan tanpa tolakan, apa pula jaraknya," katanya.
Beliau menambah, ujian tambahan turut dijalankan menggunakan mannequin berpakaian tracksuit dan t-shirt nipis dengan berat sekitar 53 kilogram serta ketinggian 154 sentimeter, hampir menyamai keadaan sebenar arwah.
Prosiding di hadapan Koroner Shah Amir Hassan itu akan bersambung esok di lokasi kejadian sebelum kembali ke mahkamah untuk mendengar keterangan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.