KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior menjadi saksi pertama melihat Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, ketika membacakan keterangan bertulisnya pada inkues kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Beliau yang bertugas mengawal kawasan asrama perempuan pada hari kejadian, berkata dia didatangi seorang pelajar yang memberitahunya ada pelajar pengsan.
"Pada 15 Julai 2025, saya bertugas sebagai pengawal keselamatan bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya iaitu 16 Julai 2025.
"Sekitar jam 2 pagi pada 16 Julai 2025, saya telah membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan tiada apa-apa kejadian berlaku.
"Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan iaitu Blok Sumayyah yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya.
"Sekitar jam lebih kurang 3 pagi, semasa saya berada di asrama Blok Sumayyah, saya telah dimaklum oleh seorang pelajar bahawa ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama Blok Rabiatul Adawiyah.
"Saya terus bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah dan melihat seorang pelajar perempuan yang dikenali dengan nama Zara terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedar diri," katanya.
Linah berkata, selepas melihat mangsa, beliau terus menghubungi Ketua Warden Asrama mengenai kejadian itu dan mengambil sekeping gambar Zara dalam keadaan terlentang di longkang terbabit.
"Selepas Ustaz Azhari (Ketua Warden) sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi.
"Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk terima rawatan," katanya.
Sementara itu, menjawab soalan peguam ibu arwah Zara Qairina, Shahlan Jufri sama ada pelajar terbabit ditemani pelajar lain, Linah berkata hanya pelajar itu seorang memanggilnya.
Shahlan: Bagaimana dia memaklumkan kepada puan bahawa ada pelajar pengsan?
Linah: Dia panggil, aunty, aunty ada budak pengsan. Saya tanya apa bilik, dia cakap bukan di bilik. Jadi kami terus berlari dan sampai di situ saya nampak pelajar terlentang. Saya tidak pegang sebab dia terlentang, tapi dia masih bernafas.
Shahlan: Masa dia panggil, ada siapa-siapa lagi?
Linah: Tiada, dia seorang saja.
Shahlan: Selepas dia panggil dan puan pergi ke tempat kejadian, adakah puan tahu siapa pelajar itu?
Linah: Ya memang saya tahu, lepas tengok muka saya terus ingat nama dia Zara.
Shahlan: Macam mana puan boleh pasti pelajar tu Zara?
Linah: Memang biasa dengan budak sana kan.