KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari kelima hari ini menarik perhatian apabila saksi kelima, Inspektor Maidon Bernadus, hadir ke Mahkamah Koroner sambil membawa sebuah patung yang digunakan dalam simulasi kejadian jatuh pada 3 Ogos lalu.
Maidon yang juga pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah tiba kira-kira jam 8.20 pagi bersama seorang pegawai untuk menyambung keterangannya. Pegawai itu dilihat membawa bungkusan manakala seorang lagi pegawai yang mengiringinya membawa patung berkenaan yang dibalut dengan kertas sebelum dibawa masuk ke bilik mahkamah.
Semalam, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak di Mahkamah Kanak-Kanak meminta saksi berkenaan membawa patung itu bagi meneliti keadaan dan kerosakan selepas digunakan dalam simulasi.
Dalam keterangannya semalam, Maidon menjelaskan kaedah simulasi yang dijalankan dengan menjatuhkan patung seberat arwah Zara Qairina dari tingkat tiga koridor asrama sekolah di Kinarut, Papar, tempat Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Katanya, dua ujian dilakukan iaitu pertama menjatuhkan patung secara tegak lurus tanpa tolakan manakala ujian kedua dengan sedikit tolakan ke hadapan.
"Hasil simulasi pertama, jarak jatuhan patung ke tanah dari dinding bangunan asrama adalah 2.14 meter, manakala simulasi kedua dengan tolakan minima mencatat jarak 3.45 meter. Kesimpulannya, simulasi pertama lebih hampir dengan kedudukan arwah ditemui," katanya.
Selain Maidon, dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) juga memberi keterangan semalam, masing-masing Dr Janefer Voo dari Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Dr Pavankumar Balachandran dari Jabatan Bedah Saraf.
Keterangan kedua-duanya memperincikan keadaan kritikal arwah ketika dibawa ke HQE pada jam 4.38 pagi, 16 Julai lalu yang disahkan mengalami kecederaan otak traumatik teruk sehingga meninggal dunia pada 17 Julai 2025. Prosiding inkues hari ini dijangka berlangsung sehingga tengah hari bagi memberi ruang kepada Mahkamah Koroner membuat persiapan lawatan tapak ke lokasi kejadian esok.