PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap dakwaan syarikat milik bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah telah ditutup selepas didapati tiada kesalahan jenayah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan menyeluruh telah dijalankan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk Sabah Mineral Management (SMM) dan kerajaan negeri, sebelum Timbalan Pendakwa Raya memutuskan bahawa kes tersebut tidak mempunyai asas untuk tindakan lanjut.
“Kita telah memanggil semua pihak terbabit serta merekodkan keterangan. Namun selepas penelitian, Timbalan Pendakwa Raya mendapati tiada pelanggaran undang-undang di bawah Akta SPRM 2009 mahupun Kanun Keseksaan. Tiada juga isu tadbir urus dikenal pasti, maka kes ini ditutup,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Selasa.
Lesen Tamat, Tiada Aktiviti Cari Gali
Azam menjelaskan, syarikat berkaitan Farhash hanya mengemukakan permohonan penerokaan mineral kepada SMM pada Mac 2023 dan telah diberikan kelulusan bersyarat. Namun, syarikat itu gagal memenuhi syarat dokumen yang ditetapkan sehingga menyebabkan kelulusan tersebut terbatal secara automatik pada 21 Mac 2024.
“Tiada sebarang aktiviti penerokaan dilakukan kerana syarikat tidak menyerahkan dokumen lengkap yang diperlukan. Malah, ini bukan kelulusan tanah seperti didakwa, sebaliknya hanya lesen cari gali sementara yang tertakluk di bawah Sabah Mineral Management,” katanya.
Dakwaan 70,000 Hektar Jadi Polemik
Nama Farhash Wafa sebelum ini menjadi kontroversi selepas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendesak SPRM membuka siasatan terhadapnya. Rafizi mendakwa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Farhash memperoleh kelulusan untuk meneroka kawasan arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah.
Gesaan itu turut dipanaskan dengan maklumat yang tular di media sosial, kononnya melibatkan campur tangan kerajaan negeri dalam meluluskan lesen tersebut.
Namun SPRM menegaskan, perkara itu hanya melibatkan permohonan kepada SMM dan tidak pernah sampai ke peringkat Mesyuarat Kabinet Negeri.
Namun semakan dokumen rasmi yang disebarkan Malaysianow boleh dianggap palsu kerana dokumen sebelum 31 Ogos 2021 Jontih Enggihon ditamatkan sebagai CEO SMM.
Pemilikan syarikat Bumi Suria tidak bermakna memiliki kelulusan lesen mineral seluas 70,000 hektar memandangkan telah dibatakan sejak 5 bulan lalu. Penjualan syarikat hanya perkara biasa antara pemilik asal dan pemilik baharu.
[ARTIKEL BERKAITAN- Bumi Suria, Farhash dan Aminuddin tiada lesen Carigali 70,000 hektar di Kalabakan – SMM batalkan pada 24 Mac 2025
Siasatan Ditutup, Persepsi Awam Jadi Fokus
Azam berkata, walaupun kes berkenaan telah ditutup, SPRM mengambil maklum mengenai persepsi negatif yang timbul susulan dakwaan tersebut.
“Isu ini bermula kerana maklumat separuh benar yang disebarkan di media sosial. Kami perlu jelaskan bahawa lesen cari gali telah pun tamat lima bulan lalu, dan tiada aktiviti penerokaan berlaku,” tegasnya.
Farhash Saman Malaysianow
Dalam perkembangan berkaitan, Farhash Wafa Salvador memfailkan saman terhadap portal Malaysianow yang didakwa menyiarkan dokumen palsu berhubung isu ini. Dokumen tersebut bukan sahaja mengandungi maklumat tidak tepat, malah langsung tidak menyebut mengenai pembatalan lesen kebenaran permohonan mineral pada 21 Mac 2025.
Farhash menegaskan tindakan undang-undang itu perlu kerana laporan tersebut jelas berbentuk fitnah dan telah mencemarkan reputasinya.
Sebagai sebuah media yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Komunikasi, Malaysianow sepatutnya menyemak maklumat rasmi daripada SMM terlebih dahulu sebelum menyiarkan laporan yang tidak sahih.
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah terhadap portal MalaysiaNow dan editornya, dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta berhubung artikel portal itu
Saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.
Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Muhammad Abd Ar-Rahman Koya sebagai defendan.
Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan ganti rugi tambahan, perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh, tanpa syarat dan terbuka di portal tersebut, faedah lima peratus setahun, serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut defendan memadam artikel berkenaan daripada laman MalaysiaNow dan telah memfailkan permohonan injunksi segera untuk menghalang portal itu daripada mengulang siar artikel yang didakwa berunsur fitnah tersebut.