LAHAD DATU: Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Tunku, Kampung Sabah Baru, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa berusia 58 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan di bahagian badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori 10 tan yang telah bertembung dengan kereta jenis sedan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 30-an dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 6.06 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kemalangan.