KOTA KINABALU: Polis menahan pasangan suami isteri pemilik syarikat kurier bersama dua pekerja mereka selepas dikesan menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis ketamin di sebuah premis perniagaan di Taman Sri Kepayan, di sini.
Serbuan dilakukan pada 4 dan 5 September lalu itu membawa kepada rampasan 20.7 kilogram ketamin selain enam kereta mewah termasuk Lamborghini Aventador, dengan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM4.21 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan pertama membabitkan pengurus syarikat berusia 36 tahun yang ditahan bersama dadah berkenaan.
"Hasil soal siasat, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga kerani operasi syarikat terbabit kira-kira jam 12.05 tengah malam di kawasan Yusang, Kepayan. Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 47 dan 46 tahun yang juga pemilik syarikat akhirnya diberkas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati pengurus syarikat terbabit berperanan menguruskan aktiviti sindiket dengan menggunakan perkhidmatan kargo udara bagi menghantar paket berisi dadah.
"Suspek kedua pula dipercayai bertanggungjawab memudahkan proses paket keluar dari gudang kargo udara.
"Hasil tangkapan itu, polis turut menyita enam kenderaan mewah serta wang tunai dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah berkenaan," katanya.
Menurutnya, semua suspek kini direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953.
"Polis akan terus menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah ini. Kerjasama orang ramai juga amat diperlukan dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-2087222," katanya.