Inkues Zara Qairina: Polis guna patung lakukan simulasi di asrama sekolah
20:09 Sep 09, 2025  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Polis guna patung lakukan simulasi di asrama sekolah

Saksi kelima yang juga Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus, berkata simulasi itu dilaksanakan jam 3 pagi, 3 Ogos lalu.

KOTA KINABALU: Polis membina semula tempat kejadian dan melakukan simulasi di lokasi Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

Saksi kelima yang juga Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus, berkata simulasi itu dilaksanakan jam 3 pagi, 3 Ogos lalu.

Katanya, simulasi bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden menimpa arwah Zara Qairina itu dibuat selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung bagi memeriksa tempat kejadian pada 2 Ogos.

Katanya, beliau mengetuai pasukan yang disertai empat lagi anggota polis, termasuk dua polis wanita ke lokasi iaitu bangunan asrama sekolah bagi membuat simulasi kejadian.

"Turut hadir bersama pasukan saya adalah pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Papar termasuk Pegawai Penyiasat kes serta wakil daripada warden asrama sekolah.

"Simulasi kejadian dijalankan menggunakan patung dengan berat asal 10 kilogram (kg)," katanya ketika membacakan keterangan bertulis di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues petang ini.

Saksi kelima inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu berkata patung dalam simulasi itu dipasang pemberat menggunakan batu bata di keliling bahagian pinggang ke bawah, bagi menjadikan berat keseluruhan 53 kg.

"Ketinggian patung adalah lebih kurang 180 sentimeter, iaitu melebihi 27 sentimeter daripada ketinggian fizikal si mati (153 sentimeter).

"Pembinaan semula tempat kejadian dijalankan pada anggaran masa sebenar insiden berlaku, iaitu sekitar jam 3 pagi, dengan pencahayaan terang hasil daripada lampu bangunan asrama serta lampu tambahan forensik," katanya.

Katanya, pegawai penyiasat sudah menyampaikan taklimat dan memberikan panduan mengenai keadaan semasa berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan sebelum ini.

"Tindakan pasukan saya adalah membuat simulasi pergerakan patung ke bawah (permukaan tanah) bermula dari koridor berhadapan dengan tandas pintu tandas di aras tiga bangunan asrama.

"Dua jenis simulasi lakukan dan gambar serta video semasa proses simulasi juga diambil," katanya.

Maidon berkata, simulasi pertama dibuat dengan patung dijatuhkan terus secara tegak lurus dari koridor tanpa daya dorongan atau tolakan ke hadapan. Simulasi kedua pula, katanya dibuat dengan patung dijatuhkan sambil menggunakan daya tolakan atau dorongan secara minimum ke hadapan dari koridor.

"Semua maklumat direkodkan dengan sistematik untuk tujuan rujukan lanjut. Hasil simulasi pertama, saya mendapati jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama di aras bawah adalah lebih kurang 2.14 meter.

"Hasil simulasi kedua, jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama aras bawah adalah lebih kurang 3.45 meter," katanya

Secara keseluruhan, beliau berkata berdasarkan simulasi, pihaknya mendapati simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal pegawai penyiasat.

Beliau berkata, proses simulasi selesai pada kira-kira jam 6.30 pagi sebelum laporan rasmi kemudian dibuat melalui Sistem Pengurusan Bukti Forensik (FEMS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Comment