Tiada kesan lebam, tanda penderaan pada tubuh Zara Qairina
20:09 Sep 09, 2025  |  By SabahKini2
Tiada kesan lebam, tanda penderaan pada tubuh Zara Qairina

Saksi Dr Janefer Voo, 32, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan berkata, pada 4.38 pagi 16 Julai, beliau menerima Zara yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

KOTA KINABALU: Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Saksi Dr Janefer Voo, 32, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan berkata, pada 4.38 pagi 16 Julai, beliau menerima Zara yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Antara kecederaan dialami mangsa termasuklah bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, fraktur tertutup pada pergelangan tangan kiri, fraktur terbuka pada pergelangan kaki kiri serta fraktur tertutup pada pergelangan kaki kanan.

Selepas pemeriksaan, "Trauma Alert" diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada 4.42 pagi, 16 Julai, bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

"Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di bahagian belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri, selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.

"Disebabkan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah, beliau disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat trauma 'impak tinggi' pada badan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

"Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit," katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Mahkamah Koroner di sini.

Pegawai penyelaras, Datuk Badiuszaman Ahmad, kemudian meminta Dr Voo menandatangani kenyataan saksinya.

Dr Voo berkata, selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, fraktur terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, fraktur tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.

Dr Voo adalah pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di HQE.

Comment