KOTA KINABALU: Seramai enam lagi saksi dijangka memberi keterangan pada hari keempat inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.
Saksi terbabit merangkumi masing-masing dua doktor perubatan, kakitangan sekolah dan pegawai forensik.
Setakat ini, dua daripada 68 saksi yang disenaraikan Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memberi keterangan sepanjang tiga hari inkues berlangsung.
Semalam, saksi kedua dari Jabatan Kimia Malaysia memberi keterangan mengenai kesahihan tulisan tangan yang terkandung dalam 21 dokumen milik arwah Zara Qairina.
Dokumen itu merangkumi 15 helaian kertas, empat buku nota dan dua buku teks milik arwah Zara Qairina yang diserahkan pihak polis kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Pemeriksa Dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh antara lain mendedahkan sebuah buku yang diperiksanya mengandungi dua gaya tulisan tangan yang berbeza.
Buku terbabit yang ditanda W3 katanya ditulis bersilih ganti bersama seorang lagi individu berdasarkan penemuan tulisan tangan berbeza di beberapa halaman.
Muka surat pertama buku itu juga katanya tertera dua nama iaitu penulis contoh yang merujuk kepada arwah Zara Qairina dan seorang lagi individu lain.
Sementara itu katanya, dokumen lain hanya mengandungi tulisan arwah Zara Qairina sendiri berikutan pemeriksaan menunjukkan persamaan yang signifikan dengan contoh tulisannya.
Dokumen itu ialah helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15, selain dalam helaian kertas Y8 dan buku bertanda W1 dan W2.
Sesi keterangan saksi kedua itu berakhir kira-kira 5 petang semalam.
Bagaimanapun, seorang lagi pakar tulisan tangan dijangka memberi keterangan selepas ini berikutan keputusan peguam ibu arwah Zara Qairina melantik pakar tulisan tangan lain untuk memeriksa dokumen terbabit.