Polis sedia beri perlindungan kepada saksi inkues Zara Qairina
18:09 Sep 08, 2025  |  By SabahKini2
Polis sedia beri perlindungan kepada saksi inkues Zara Qairina

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata setakat ini tiada permohonan diterima, namun pihaknya bersiap siaga untuk memastikan kelancaran perjalanan inkues.

KOTA KINABALU: Polis sentiasa bersedia memberi perlindungan tambahan kepada saksi prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner, di sini, sekiranya ada permohonan dibuat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata setakat ini tiada permohonan diterima, namun pihaknya bersiap siaga untuk memastikan kelancaran perjalanan inkues.

"Kalau ada yang mahu perlindungan, boleh buat permohonan. Setakat ini, tiada permohonan diterima. Bagaimanapun, prosiding inkues berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Polis juga masih ditempatkan di kawasan mahkamah bagi tujuan keselamatan," katanya dihubungi, hari ini.

Pada Jumaat lalu, polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, berhubung ugutan diterimanya daripada netizen selepas memberi keterangan selama dua hari dalam inkues berkenaan.

Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun ditahan kerana disyaki mengugut Dr Jessie yang juga pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Suspek ditahan kira-kira jam 7 pagi semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna selepas polis menerima laporan mengenai satu kenyataan berunsur ugutan jenayah yang dimuat naik di laman Facebook menggunakan akaun atas nama 'Amung Kamaruddin'.

Dalam pada itu, Kasim berkata, rondaan keselamatan turut dilakukan di kawasan kediaman Dr Jessie bagi memastikan keselamatannya.

Comment