KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, hari ini, menyatakan kekesalan berikutan penularan gambar barang kes dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di media sosial.
Koroner Amir Shah Amir Hassan mengingatkan pihak yang mempunyai akses terhadap barang kes di mahkamah supaya memastikan ia tidak dikongsikan kepada pihak luar.
"Saya mahu mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan barang kes yang ada dalam milikan kamu.
"Memuat naik (gambar) barang kes mendahului prosiding mahkamah boleh diambil tindakan menghina mahkamah.
"Pihak berkuasa perlu cuba mengambil tindakan walaupun kita tidak dapat menghentikan semua orang," katanya sebelum prosiding berhenti rehat, 12.30 tengah hari tadi.
Amir Shah memberi amaran itu selepas menerima aduan mengenai gambar barang kes yang disebar di media sosial.
Difahamkan, sebuah akaun Facebook hari ini, menyebarkan gambar lembaran kertas yang didakwa mengandungi tulisan tangan arwah Zara Qairina.
Hari ini, Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, memberi keterangan mengenai 21 dokumen mengandungi tulisan tangan yang diperiksanya sama ada milik arwah Zara Qairina atau orang lain.