Tindakan boleh diambil kepada siapa dedah bukti terkait Zara Qairina di media sosial – Hakim
18:09 Sep 08, 2025  |  By SabahKini2
Tindakan boleh diambil kepada siapa dedah bukti terkait Zara Qairina di media sosial – Hakim

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai koroner bagi inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, berkata pihaknya menerima aduan mengenai bahan bukti yang dikongsi di media sosial.

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil terhadap orang awam kerana memuat naik bahan bukti prosiding di platform media sosial.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, yang bersidang sebagai koroner bagi inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, berkata pihaknya menerima aduan mengenai bahan bukti yang dikongsi di media sosial.

"Saya ingin mengingatkan semua orang supaya berhati-hati dengan bahan bukti yang ada dalam simpanan anda.

"(Memuat naik bahan bukti) mendahului prosiding mahkamah boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

"Pihak berkuasa patut cuba mengambil tindakan walaupun kita tidak boleh menghalang semua orang," katanya sebelum mahkamah ditangguhkan untuk rehat tengah hari pada jam 12.30 tengah hari.

Difahamkan, pada jam 9 pagi tadi, satu akaun Facebook membocorkan dan mendakwa satu halaman tulisan tangan dikaitkan dengan remaja berusia 13 tahun itu yang ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya.

Ketika inkues memasuki hari ketiga, Mahkamah Koroner di sini memanggil seorang pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh.

Sehingga berita ini ditulis, prosiding hanya mendengar saksi kedua membacakan keterangannya setebal tujuh muka surat.

Sebanyak 21 bahan bukti dikemukakan kepada mahkamah sebagai eksibit.

Tiada satu pun daripadanya didedahkan sebagai diari Zara Qairina di mahkamah terbuka.

Comment