Inkues Zara Qairina: Jabatan Kimia terima 21 dokumen bertulisan tangan dan buku
17:09 Sep 08, 2025  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Jabatan Kimia terima 21 dokumen bertulisan tangan dan buku

Perkara itu diberitahu Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh selaku saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sebanyak 21 beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Perkara itu diberitahu Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh selaku saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata, semua dokumen bertanda W1 hingga W6, Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15 bermeterai Polis Diraja Malaysia 314, selain satu Borang Polis 31 bernombor aduan Kinarut 1776/25 itu diterima pada jam 8.37 pagi, 20 Ogos lalu.

Ketika prosiding, Nurul Atiqah membuat pengecaman semula dokumen terbabit yang berupa helaian kertas mengandungi tulisan tangan yang ditanda 'Y', selain buku latihan, buku kerja dan buku nota milik arwah Zara Qairina yang ditanda 'W'.

Prosiding hari ini bermula jam 9.20 pagi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dengan Dana Arabi Wazani selaku pegawai pengendali yang menyoal saksi.

Nurul Atiqah, 44, ialah saksi kedua inkues kematian arwah Zara Qairina, dengan pengalaman kerja selama 21 tahun sebagai pegawai sains di Jabatan Kimia Malaysia.

Tugas beliau ialah menerima kes dan menyediakan laporan kimia serta menjalankan pemeriksaan dokumen yang dipertikaikan membabitkan pemeriksaan seperti tandatangan, tulisan tangan, tulisan taip, pindaan, proses percetakan, kertas dan dakwat.

"Saya juga pernah memberi keterangan di mahkamah apabila diperlukan. Sepanjang pengetahuan saya, keterangan saya diterima oleh mahkamah," katanya dalam keterangan yang dibacanya.

Menurutnya, tulisan tangan dalam dokumen terbabit diperiksa dan dibuat perbandingan dengan contoh yang ada bagi menentukan sama ada tulisan dalam dokumen terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.

"Saya telah memeriksa semua tulisan tangan dan melakukan perbandingan antara tulisan tangan yang dipertikaikan dengan semua contoh tulisan tangan.

"Saya melihat ciri-ciri tulisan tangan antara kedua-duanya dan mengenal pasti persamaan dan perbezaan ciri-ciri tulisan tangan yang ada.

"Saya menggunakan kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator dalam pemeriksaan saya," katanya.

Comment