JIM Sabah tahan 21 PTI dalam dua operasi penguatkuasan di Ranau
22:08 Aug 19, 2025  |  By SabahKini2
JIM Sabah tahan 21 PTI dalam dua operasi penguatkuasan di Ranau

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu membabitkan 18 pegawai daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau.

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 21 pendatang tanpa izin (PTI) dalam dua operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata operasi itu membabitkan 18 pegawai daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau.

Katanya, seramai 14 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan ditahan dalam operasi berkenaan.

“Semua mereka terdiri daripada warganegara Pakistan dan Filipina, ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Daripada 24 individu yang diperiksa, seramai 21 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, JIM Sabah akan terus memperhebatkan operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PTI.

“Kerjasama masyarakat sangat penting dalam menyalurkan maklumat mengenai kehadiran PTI di kawasan masing-masing.

“Tindakan segera akan diambil berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya.

Comment