Satu lagi episod memalukan dunia perubatan tempatan tercetus apabila seorang individu bernama YM Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar didakwa menyamar sebagai doktor forensik. Beliau sebelum ini muncul dalam kes kemalangan bas pelajar UPSI dan kini cuba mengaitkan dirinya dengan siasatan kes kematian tragis Zara Qairina.
Individu ini menggunakan nama seolah-olah berstatus akademik tinggi – “Dato Prof Dr” – kononnya pakar dari UKM. Namun, semakan direktori rasmi UKM dan rekod Majlis Perubatan Malaysia (MMC) jelas membuktikan nama tersebut tidak wujud sama sekali.
Dakwaan Palsu Dalam Kes Zara Qairina
Melalui akaun TikTok (video di atas), individu ini mendakwa dirinya sebahagian daripada pasukan forensik yang melakukan bedah siasat kedua ke atas jenazah Zara Qairina. Dalam siaran langsungnya, dia membuat pelbagai dakwaan mengejutkan, antaranya:
- Zara kononnya “ditidakhidupkan di tempat lain”.
- Ada tanda “perancangan awal” sebelum kematian.
- Badan arwah dipenuhi air.
Semua dakwaan ini bertentangan dengan kenyataan rasmi JSJ dan pihak berkuasa, malah tidak pernah disahkan oleh mana-mana pakar sah.
Hakikat sebenar, pasukan forensik yang SAH dilantik selepas penggalian semula jenazah hanyalah:
- Dr Jessie Hiu – Ketua Pasukan, QEH I.
- Dr Khairul Anuar Zainun – Pakar Forensik HSIS Serdang.
- Tiga lagi pakar patologi dari QEH I.
Tiada seorang pun dari UKM terlibat, apatah lagi individu bernama “Tunku Iskandar”.
Red Flag: Pakar Bius Buat Post-Mortem?
Lebih meragukan, individu itu turut mendakwa dirinya pakar bius di HUKM. Persoalan timbul: apa kaitan pakar bius dengan post-mortem? Bedah siasat dijalankan oleh pakar patologi forensik, bukannya pakar bius. Dakwaan ini jelas satu penipuan terbuka.
Bukan Kali Pertama – Kes UPSI Terdahulu
Penyamaran ini bukan kes terpencil. Dalam tragedi kemalangan bas pelajar UPSI dahulu, individu sama pernah membuat cerita “mayat wangi” dan “arwah peluk Al-Quran”, mendakwa dirinya forensik Hospital Ipoh. Video tersebut tular semula di Facebook, meraih lebih 12,000 tanda suka dan ribuan perkongsian.
Kini, modus operandi sama diulang dalam kes Zara. Video siaran langsungnya telah dimuat naik semula ke pelbagai platform, mencecah lebih 7,000 perkongsian. Ramai netizen pula mempercayainya bulat-bulat, seolah-olah dia benar-benar berada dalam bilik post-mortem.
Bahaya Fitnah & Eksploitasi Kematian
Fenomena ini amat berbahaya. Dalam kes sensitif yang menyentuh kematian seorang remaja, kemunculan “doktor forensik palsu” seperti ini boleh mencetuskan salah faham awam, mengganggu siasatan polis, dan menyebarkan naratif fitnah.
Lebih membimbangkan, wajah sebenar individu itu sudah dikesan menerusi akaun Threads yang masih terbuka, berbeza dengan TikTok dan media sosial lain yang kini telah diprivasikan.
Desakan Kepada PDRM & MCMC
Orang ramai kini mendesak PDRM dan MCMC bertindak segera menahan individu ini atas kesalahan menyamar sebagai pegawai perubatan, menyebarkan maklumat palsu, dan mengelirukan orang awam. Kes seumpama ini bukan sekadar isu moral, malah menyentuh undang-undang jenayah berkaitan penipuan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Ini kerja psycho. Kalau dibiarkan, makin ramai percaya dan ikut menyebarkan fitnah. PDRM wajib ambil tindakan tegas sebelum lebih ramai terpedaya,” kata Khairul Azri seorang pengguna facebook yang mendedahkan membongkar penipuan YM Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar doctor ‘scammer’ ini.
UKM sebagai sebuah universiti terulung perlu menafikan doktor palsu ini yang merosakkan nama baik UKM. Memalukan! Hanya seorang Food Reviewer boleh jadi doktor bedah!