Kes pelajar meninggal dunia jatuh bangunan kini dalam siasatan polis – Fadhlina
16:07 Jul 18, 2025  |  By SabahKini2
Kes pelajar meninggal dunia jatuh bangunan kini dalam siasatan polis – Fadhlina

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian melibatkan pelajar perempuan itu.

KOTA KINABALU: Kejadian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustafa Limauan di Sabah yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama kini dalam siasatan pihak polis, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian melibatkan pelajar perempuan itu.

"Saya dan Pengurusan Tertinggi Kementerian telah menziarahi keluarganya di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga terpelihara.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah juga telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga itu termasuk dalam aspek sokongan psikososial," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh menggangu siasatan selain menghormati privasi keluarga.

"Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan tersebut," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga berkenaan dan mendoakan mereka diberi kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian berat berkenaan.

Semalam pengguna Facebook menggunakan nama Dun Sindumin Sipitang memuat naik hantaran mengenai kejadian melibatkan pelajar malang itu.

Comment