Cubaan seludup udang, minyak sawit digagalkan PPM
16:07 Jul 18, 2025  |  By SabahKini2
Cubaan seludup udang, minyak sawit digagalkan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan bot terbabit menemukan sejumlah 824 ekor Udang Lipan (Mantis Shrimp) dan Udang Karang (Lobster) yang cuba dibawa masuk dari negara jiran secara haram.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ratusan ekor udang bernilai lebih RM100,000 dari Filipina ke perairan daerah ini dalam satu operasi berhampiran Pulau Sibangkat di sini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, hasil maklumat risikan membolehkan PPM Semporna mengesan dan menahan empat bot yang dinaiki lapan lelaki warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pemeriksaan terhadap bot terbabit menemukan sejumlah 824 ekor Udang Lipan (Mantis Shrimp) dan Udang Karang (Lobster) yang cuba dibawa masuk dari negara jiran secara haram.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek gagal mengemukakan dokumen sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia. Suspek dipercayai membawa hasil laut itu masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan hasil laut berkenaan dianggarkan sebanyak RM116,290 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan yang dijalankan pada hari sama, PPM turut mematahkan cubaan menyeleweng minyak sawit mentah (CPO) apabila merampas lebih 600 liter CPO dan menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang sindiket.

“Rampasan membabitkan sebuah lori bonded yang membawa tangki dan tong berisi CPO. Operasi dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu,” katanya.

Nazri berkata, nilai rampasan bagi kes itu dianggarkan berjumlah RM124,100 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Beliau turut mendedahkan bahawa nilai keseluruhan rampasan berkaitan kes CPO di Sabah sejak Januari hingga kini mencecah RM12.47 juta.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan dan kerjasama dengan agensi berkaitan dalam membanteras sebarang bentuk penyeludupan di perairan negara,” katanya.

Comment