KOTA KINABALU: Seramai 61 individu ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Cegah Khas yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah selama empat hari bermula 13 Julai lalu di lima daerah terpilih.
AADK Sabah dalam kenyataan media berkata, operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap 72 individu dengan 67 daripadanya menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil operasi menunjukkan 61 orang positif termasuk lima yang sebelum ini dikenal pasti menerusi keputusan makmal terdahulu.
“Ujian saringan awal mendapati kesemua yang positif menggunakan dadah jenis methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu,” katanya.
Katanya, operasi bersepadu ini dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Tuaran dan Keningau dengan dilaksanakan seramai 43 pegawai dan anggota AADK.
“Objektif utama pelaksanaan operasi ini adalah untuk mengesan, menahan serta membantu golongan penagih mendapatkan rawatan dan pemulihan yang sewajarnya di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.
“Selain itu, operasi ini bertujuan memutuskan rantaian bekalan dan permintaan dadah serta menghapuskan sarang penagihan khususnya di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT).
“Oleh itu, AADK menyeru kerjasama masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan penagihan dan pengedaran dadah dengan menghubungi talian hotline 1-800-22-2235 atau WhatsApp 019-626 2233 secara rahsia dan selamat,” katanya.
Tambahnya, pihak agensi juga menegaskan bahawa usaha membanteras penagihan dadah akan diteruskan secara berfokus demi membina masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada pengaruh najis dadah.