KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, RUU itu merupakan satu langkah penting dan strategik oleh kerajaan negeri untuk terus memperkukuh sistem percukaian yang menjadi tunjang utama kepada sumber hasil negeri.
"Pindaan ini bukan semata-mata bersifat teknikal, tetapi merupakan usaha holistik untuk memastikan undang-undang Cukai Jualan Negeri (CJN) terus responsif, adil dan efisien dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan dinamik.
"Sebanyak 37 pindaan telah dicadangkan. Kesemua pindaan ini dirangka dengan teliti untuk memastikan pengurusan hasil negeri menjadi lebih cekap dan teratur," katanya.
Beliau berkata demikian semasa dalam sesi penggulungan pembentangan RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025, DUN Sabah, hari ini.
Beliau berkata, tidak ada cukai baharu diperkenalkan cuma pindaan dilakukan untuk memastikan cukai sedia ada lebih jelas, sekali gus untuk manfaat semua pihak.
Masidi yakin dengan kelulusan RUU itu, kerajaan negeri akan dapat melangkah ke hadapan dengan lebih mantap dalam mengurus hasil negeri secara berkesan, sambil mengekalkan kepercayaan dan kerjasama yang baik dengan pembayar cukai.
"Saya yakin pindaan ini akan membawa manfaat bukan sahaja kepada pihak berkuasa cukai, tetapi juga kepada pembayar cukai melalui kejelasan dan ketelusan perundangan," katanya.
Sebelum itu, semasa pembentangan RUU berkenaan, Masidi berkata, kali terakhir Enakmen itu dipinda adalah pada 2018 yang mana pada ketika itu, hanya tiga barangan yang dikenakan cukai iaitu Minyak Mentah Kelapa Sawit (CPO), Tiket Loteri dan Mesin Slot.
"Sejak itu, enam lagi tambahan barangan telah dikenakan cukai dalam tempoh 2020 sehingga 2025 iaitu Produk Petroleum, Komoditi Perikanan, Besi Buruk Buangan, Pasir Silika, Biojisim Kelapa Sawit serta Emas dan Perak yang dilombong di Sabah.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan barangan yang dikenakan cukai sebanyak sembilan jenis produk. Jumlah pemegang lesen CJN setakat ini adalah sebanyak 386 syarikat dan jumlah kutipan sejak 1999 sehingga 30 Jun 2025 adalah sebanyak RM32.26 bilion," katanya.